PEREBUTAN jawatan Timbalan Presiden Pas di antara penyandang, Nasharuddin Mat Isa, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu paling menjadi tumpuan pada Muktamar Pas Ke-55, minggu depan. Wartawan Berita Minggu, AHMAD NAIM TAHIR mendapatkan pandangan Husam untuk menghuraikan perkara itu. – Berita Minggu 31 Mei 2009

Soalan: Kenapa Datuk menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Apabila saya menyertai Pas pada 1982, satu daripada sebabnya saya percaya Pas perlu jadi parti peneraju utama dalam negara jika dasar Islam yang komprehensif mahu dilaksanakan. Saya berpendapat jika ada kerjasama politik dengan Umno dalam bentuk berkerajaan, ia akan menyekat kemaraan Pas. Tak mungkin Pas dapat bertanding pilihan raya di kawasan Umno dan Barisan Nasional (BN) dan ini akan hadkan kerusi Pas lalu Umno tetap jadi parti utama dan perjuangan Islam akan terbiar.

Buat masa ini saya berasa Pas mesti berusaha untuk keluar dan memenangi kerusi yang dikuasai Umno dan BN bagi mencapai cita-cita politik parti. Di kawasan ramai pengundi bukan Melayu, rakan Pas seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah menguasai kerusi itu, jadi tugas Pas yang utama sekali ialah menarik sokongan Melayu di kawasan kubu kuat Umno seperti di Johor dan Pahang.

Soalan: Apa reaksi ahli Pas terhadap keputusan Datuk bertanding Timbalan Presiden.

Alhamdulillah saya dapat banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) terima kasih kerana sanggup tawar diri walaupun menanggung risiko. Kalau nak jaga kedudukan, saya bertanding Naib Presiden, lebih selamat. Apabila bertanding Timbalan Presiden, risikonya sangat tinggi, lebih-lebih lagi dikatakan saya menerima pencalonan tidak berapa besar, tetapi sekurang-kurangnya saya berhasrat sampaikan niat atau pandangan politik saya yang tidak bersetuju dengan pimpinan tertentu mengadakan rundingan sulit dengan Umno, sekurang-kurangnya saya hendak daftarkan pandangan politik saya yang berbeza ini. Saya tidak pasti apakah keputusan ini paling baik tetapi sekurang-kurangnya tanggungjawab saya sudah selesai. Kalah atau menang, itu ditentukan oleh perwakilan.

Soalan: Dalam pemilihan kali ini, tidak boleh lari daripada isu pertembungan kumpulan pro-ulama dan Erdogan. Datuk sendiri dikatakan sebagai ketua kepada puak Erdogan.

Kalau kita tengok buku sains politik, apabila nak wujudkan satu sasaran, kita kena namakan kumpulan, tetapi sampai hari ini saya tidak tahu siapa mulakan label Erdogan itu.

Ada orang kata ia dimulakan blog anti-Husam tetapi saya tidak siasat siapa di sebalik blog itu. Isu ini diwujudkan sebaik timbul soal muzakarah atau muqabalah dengan Umno. Sasaran blog itu mungkin untuk merosakkan nama baik saya yang dianggap ancaman kepada usaha yang dilakukan oleh kedua-dua pihak (Pas dan Umno). Sesetengah pihak mendakwa blog ini didalangi kumpulan di pejabat Jalan Raja Laut (Ibu Pejabat Pas), tetapi saya tak pasti adakah mereka, ahli parti atau orang luar di belakang blog ini.

Blog inilah yang mempopularkan nama Erdogan dan kerana nama itu diberi percuma, saya tidak rasa apa-apa. Nak dikatakan bangga, jauh sekali untuk saya disamakan dengan Erdogan yang ada reputasi tinggi. Tentulah saya rendah diri untuk disamakan dengan Erdogan.

Sebenarnya, kalau Pas liberal, saya liberal… kalau Pas konservatif, saya konservatif dan kalau Pas fundamental, saya pun fundamental. Saya masuk Pas bukan satu dua hari, jadi jika ada apa-apa kekurangan pada saya, bermakna Pas tidak melaksanakan tarbiah atau pendidikan kepemimpinan yang baik kerana kalau hampir 30 tahun dalam parti, masih lagi saya diragui oleh ahli, bermakna ada sesuatu tidak kena dengan pendidikan parti.

Saya berpendapat ini (isu ulama dan profesional) usaha untuk memecahbelahkan Pas bagi membolehkan pihak lain mendapat manfaat daripada perpecahan ini. Prinsip yang saya nampak ialah Islam membuka peluang kepada setiap individu membangunkan diri untuk mencapai beberapa kualiti minimum. Kepemimpinan dalam Islam lebih fleksibel dan terbuka, tetapi struktur yang ada dalam Pas agak lengkap yang mana setinggi mana pun pemimpinnya, ulama atau bukan, tertakluk kepada Majlis Syura sebagai pengawal dan penentu dasar utama parti.

Struktur itu sudah wujud dan saya tidak nampak perlu terlalu bimbang terhadap isu ini. Bagi saya, penyertaan saya ini mungkin hanya sementara mengikut keperluan waktu. Jika ada pemimpin lain lebih baik, saya pada bila-bila masa boleh membuka ruang untuk mereka naik dalam pimpinan parti.

Soalan: Datuk rapat dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga mengundang tanggapan pengaruh Anwar makin berkembang dalam Pas.

Saya bukan saja rapat dengan kepemimpinan Pakatan Rakyat, tetapi juga dengan pemimpin Umno dan BN, saya boleh berkomunikasi. Masa jadi Ahli Parlimen, saya sentiasa berinteraksi dengan pemimpin Umno, boleh minum teh dengan Tun Daim Zainuddin, melawat pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad selepas beliau tidak lagi jadi Perdana Menteri dan boleh menghubungi menteri tertentu memberikan pandangan saya. Hubungan rapat tidak semestinya kita korbankan dasar parti.

Saya nak bertanya kepada pengkritik itu apa ruginya Pas apabila saya rapat dengan Anwar, apakah prinsip parti sudah saya korbankan? Itu yang perlu diukur. Rapatnya kami bukan bererti saya boleh diperkudakan. Sampai hari ini pengkritik tidak boleh buktikan apa perkara yang saya kompromi dengan Anwar. Anwar diperlukan Pas menjelang pilihan raya hingga ada yang hampir merajuk kerana beliau tidak hadir dalam ceramah besar. Beliau dijemput berceramah di seluruh negara atas pentas Pas, mengapa pada waktu itu tidak timbul persoalan Pas tidak perlukan Anwar? Selepas berkuasa di Kedah, Perak, ada kerusi di Pulau Pinang dan Selangor, menang di Kelantan dan ada perwakilan besar di Parlimen, timbul isu siapa jadi alat Anwar.

Soalan: Datuk bertanding sebab tidak bersetuju dengan sikap liberal pemimpin tertentu kepada Umno, sedangkan muzakarah sudah direstui Presiden Pas.

Kedudukan Timbalan Presiden seperti pembantu juruterbang yang juga ada peranannya. Saya melihat Presiden ada pendekatan politik yang terlebih matang, tetapi sesetengah pemimpin Pas guna kedudukan mereka untuk pergi lebih jauh daripada apa yang direncanakan Presiden. Sebab itu, saya tidak ada masalah dengan Abdul Hadi dan saya yakin jika Timbalan Presiden boleh memberi input lebih meluas, Presiden akan membuat pilihan politik lebih tepat ketika itu.

Soalan: Apakah Datuk tidak akan memberi ruang langsung kepada Pas berbincang dengan Umno, terutama demi kepentingan bangsa dan agama.

Persoalan kita ialah agenda Islam yang boleh dijayakan dengan pendukung yang komited. Umno, pada pendapat saya menolak dasar Islam dalam pemerintahan, bahkan peranan wahyu sendiri (al-Quran) sangat kecil dalam penentuan dasar dan budaya Umno. Kita tolak Umno bukan kerana permusuhan politik tetapi kerana untuk melaksanakan agenda Islam, orang yang menghayati agenda itulah yang perlu mengambil tempat dalam kerajaan. Kalau Umno sendiri menerima hakikat ini, tidak ada masalah bagi Pas untuk membantu Umno, tetapi jika setakat untuk menyokong Umno kekalkan kuasanya, apa guna Pas ditubuhkan kalau sekadar jadi kuda tunggangan Umno.

Kalau Pas duduk di atas, Umno di bawah, saya tiada masalah. Kalau Umno benar-benar tekankan perpaduan Islam, maka kita kena ambil ukuran Islam seperti pemimpin paling bertakwa itulah yang jadi pemerintah paling tinggi. Kalau Abdul Hadi atau Nik Aziz jadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Najib Razak jadi Timbalan Perdana Menteri, saya tiada masalah. Kalau Najib jadi Perdana Menteri, Abdul Hadi jadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, saya rasa usaha Pas akan sia-sia.

Soalan: Datuk dianggap sebagai anak didik Nik Aziz dan ia dikatakan kelebihan kepada Datuk dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden.

Prinsip saya ialah kita tidak boleh peralatkan orang lain untuk kepentingan kita. Hubungan saya dengan Nik Aziz ialah saya murid, beliau guru. Saya dibentuk oleh beliau, berada di bawahnya dalam kerajaan hampir 20 tahun dan dalam parti melalui kuliah dan usrah. Beliau membentuk pemikiran saya dan saya tahu apa dalam fikirannya dan cuba jayakan apa yang beliau hasratkan. Saya orang suruhan beliau, bukan beliau orang suruhan saya. Dalam isu seperti muqabalah, muzakarah dan lain-lain, Nik Aziz ada pandangan sendiri, sebab itu tiada siapa yang boleh ubah pandangan itu.

Soalan: Bagaimana peluang Datuk untuk menang dan apa nasihat kepada perwakilan.

Saya harap perwakilan matang untuk jadikan Pas terus relevan dengan keadaan semasa dan keperluan masyarakat yang berharap Pas jadi alternatif kepada Umno dan dapat bawa perubahan kepada negara. Dalam pertandingan, saya serahkan kepada Allah, tetapi saya sedia untuk kalah. Ini pengorbanan saya, sekurang-kurangnya dari segi rekod, saya bertanding atas niat untuk kebaikan parti dan jika ditakdirkan menang, saya mesti jadi pembantu Presiden untuk membentuk gandingan yang baik. Saya juga berharap dapat mendekatkan Rusila dan Pulau Melaka (Abdul Hadi dan Nik Aziz). Kalau Rusila dan Pulau Melaka intim dan kuat, saya yakin Pas boleh meneraju perubahan politik terutama di negeri yang masih menjadi kubu Umno.

Pemilihan Timbalan Presiden PAS: Pandangan Tokoh Akademik