Di Malaysia wujud dua sistem undang-undang keluarga yang berasingan. Perkara yang berhubung dengan undang-undang keluarga bukan Islam adalah di bawah bidang kuasa perundangan Parlimen. Manakala perkara yang berhubung dengan undang-undang keluarga Islam pula berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri melainkan Wilayah Persekutuan di mana undang-undang keluarga bagi orang Islam berada di bawah bidang kuasa Parlimen. Dua sistem yang berbeza ini memberi kesan yang berbeza bagi orang Islam dan bukan Islam, contohnya berkaitan dengan nafkah anakDalam Islam nafkah anak menjadi kewajipan bapa sahaja manakala dalam undang-undang keluarga bukan Islam, nafkah anak bukanlah kewajipan bapa semata-mata sebaliknya ia menjadi tanggungjawab pihak yang berkemampuan.

Biasanya setelah belaku perceraian, mahkamah akan memutuskan si bapa wajib membayar nafkah untuk anaknya baik dalam undang-undang keluarga Islam mahupun undang-undang keluarga bukan Islam. Walaubagaimanapun terdapat sesetengah kes di mana perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah tidak dapat dipenuhi sepenuhnya dan ini menyebabkan si anak terhalang dari memperolehi nafkah yang sepatutnya.

Disini akan dinyatakan antara kekangan-kekangan yang di hadapi oleh si anak untuk memperolehi nafkah iaitu dengan membandingkan antara undang-undang keluarga bagi orang bukan Islam dan juga undang-undang keluarga bagi orang Islam.

2.0       TAKRIF  NAFKAH ANAK

Mengikut kamus Osborne, nafkah ditakrifkan sebagai “ supply of the necessaries of life for a person”. Mengikut Undang-Undang Islam, nafkah ditakrifkan sebagai “semua perkara keperluan untuk menyara hidup seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal”. Menurut Kamus Istilah Fiqh, nafkah atau perkataan asalnya infaaq ialah pemberian seseorang sama ada berbentuk makanan, pakaian, tempat tinggal atau ketenteraman serta kesenangan hidup (nafkah batin) kepada seseorang lain disebabkan faktor perkahwinan, kekeluargaan dan pemilikan hamba bergantung kepada kemampuan dan kesesuaiannya.

Perkataan anak atau kanak-kanak pula boleh ditakrifkan sebagai “seseorang yang di bawah umur dewasa.” [1]

Menurut undang-undang keluarga bukan Islam, anak didefinisikan sebagai seorang ‘anak dari perkahwinan’ yang berumur di bawah 18 tahun. Aeksyen 2(1) Akta Membaharui Undang-unang 1976, ‘anak dari perkahwinan’ ialah seorang anak kepada kedua-dua pihak kepada perkahwinan yang berkenaan atau seorang anak kepada satu pihak kepada perkahwinan itu yang diterima sebagai seorang ahli keluarga oleh pihak yang satu lagi.

Menurut seksyen ini juga, ‘anak’ termasuklah seorang anak tak sah taraf kepada salah satu pihak kepada perkahwinan itu dan seorang anak yang di ambil sebagai anak angkat oleh salah satu pihak tersebut menurut perintah pengangkatan yang dibuat di bawah mana-mana undang-undang bertulis berkaitan dengan pengangkatan.[2]

3.0       KEWAJIPAN MEMBERI NAFKAH ANAK MENURUT ISLAM

Seseorang lelaki itu wajib menanggung nafkah anaknya sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau jagaan orang lain dengan mengadakan tempat tinggal, pakaian, makanan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah seiring dengan kemampuan dan taraf hidupnya atau dengan membayar kosnya.

Kewajipan ke atas bapa memberi nafkah kepada anaknya itu dengan syarat dia seorang yang mempunyai harta, mempunyai pekerjaan tetap (seperti makan gaji) atau apa-apa pekerjaan lain, dan jika dia tidak ada harta tetapi berupaya bekerja maka menjadi kewajipan ke atasnya mencari pekerjaan. Sekiranya dia enggan mencari pekerjaan, hakim boleh memenjarakannya.

Jika seseorang bapa itu miskin, tidak mempunyai pekerjaan serta  tidak berupaya bekerja bahkan dirinya sendiri ditanggung oleh orang lain, maka dia tidak diwajibkan menanggung nafkah anaknya. Nafkah terhadap anak tersebut akan menjadi kewajipan ke atas ibunya. Begitu juga jika kanak-kanak tersebut tidak mempunyai bapa, ibunya akan mengambil alih menanggung nafkahnya dan nafkah anak tidak menjadi hutang ke atas bapanya kecuali setelah dihukum dan difardukan ke atasnya oleh hakim Mahkamah Syariah.[3]

Mahkamah juga mempunyai kuasa memerintah orang yang bertanggungjawab di bawah Hukum Syarak membayar nafkah kepada orang yang mempunyai hak jagaan anak tersebut atau pemegang amanah untuk anak. Perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah yang disetujui oleh kedua-dua pihak boleh dipinda atau diubah jika ada permohonan dibuat terhadapnya.[4]

4.0 KEKANGAN-KEKANGAN YANG WUJUD BERKAITAN DENGAN NAFKAH  ANAK DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

Secara umumnya, terdapat beberapa kekangan dalam kes-kes nafkah anak dan pelaksanannya . Antaranya ialah :

4.1 Tidak Ada Perasaan Kasih Sayang

Firman Allah yang bermaksud :

” Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatnya bahawa ia menciptakan untuk kamu wahai kaum lelaki, isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan. ”

Pengertian ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa Allah S.W.T telah memberi nikmat kepada kaum lelaki dengan menjadikan isteri-isteri bagi mereka supaya dapat menyenangkan hati, hidup mesra dan berkasih sayang. Mengikut pengalaman Mahkamah Syariah, apabila rasa kasih sayang sudah tidak wujud dalam diri si suami yang juga bergelar bapa, maka si suami akan memukul, mengahalau dan meninggalkan isteri dan anak-anaknya tanpa memberi nafkah dan tanpa memikirkan tentang kesusahan yang akan dialami oleh isteri dan anak-anaknya, sedangkan seseorang isteri yang juga seorang ibu tidak akan sanggup membiarkan anaknya kelaparan apatah lagi membiarkan anak-anaknya menanggung kesusahan.[5]

4.2 Tidak Mahu Memberi Nafkah

Ramai di antara bapa yang tidak bertanggungjawab ke atas nafkah anak-anak sehingga si ibu terpaksa meminta perbelanjaan harian setiap hari daripadanya. Terdapat juga lelaki yang memberi nafkah yang sedikit terhadap perbelanjaan anak-anaknya sehingga si isteri terpaksa hidup menderita dalam membesarkan anak-anaknya. Terdapat juga kes, apabila isteri bekerja, suami langsing tidak memberi nafkah kepada anak-anaknya dengan alasan isteri sudah mempunyai duit sendiri untuk menanggung anak-anak. Ramai isteri yang sanggup berdiam diri daripada mengadu kepada Mahkamah Syariah kerana rasa malu dan takut dimarahi suami. Apabila berlaku perceraian dan keadaan amat terdesak, barulah si isteri tampil ke Mahkamah Syariah untuk menuntut hak nafkah anak-anaknya daripada si suami.[6]

4.3 Nafkah Tertunggak

Dalam kes nafkah ini, apabila seseorang lelaki perlu membayar nafkah anak-anaknya di bawah satu perintah mahkamah tetapi dia tidak membayarnya, ia akan menjadi nafkah tertunggak yang boleh dituntut sebagai hutang. Jika tunggakan tersebut berkumpul sehingga waktu kematiannya, maka hutang tersebut boleh dibayar dengan harta pusakanya. [7]

Contoh kes nafkah tertunggak di Kelantan, Bunga lwn Muhammad, pihak menuntut telah menuntut nafkah sebanyak RM150 sebulan untuk anaknya. Pihak kena tuntut telah memberi persetujuan untuk membayar nafkah anak tersebut. Tetapi pihak kena tuntut tidak membayar nafkah itu seperti yang diperintahkan dari 20 Jun 1983 hingga 20 Januari 1984 berjumlah RM1050 dan pihak mendakwa telah menuntut nafkah itu. Pihak kena tuntut tidak hadir. Mahkamah Kadi memutuskan sabit pihak kena tuntut tidak membayar nafkah itu dan dia dihukum membayar kesemua tunggakan RM1050 kepada pihak kena tuntut melakui Mahkamah sebelum 5 Mac 1984. Jika dia mungkir atau enggan membayar, dia akan dihukum penjara selama seminggu.[8]

4.4 Perubahan Perintah Nafkah

Jika hukuman nafkah yang utama tidak mencukupi kerana peningkatan umur kanak-kanak itu, ataupun kanak-kanak itu sudah dewasa, mahkamah boleh atas permohonan seseorang yang mempunyai kepentingan mengubah perintah nafkah tersebut pada bila-bila masa, atau boleh membatalkan satu perintah mengenai nafkah skanak-kanak jika mahkamah berpuas hati perintah tersebut diasaskan kepada sesuatu salah nyataan atau kesilapan fakta atau sebagainya.[9]

Contoh kes di Terengganu, Noriah lwn Mat Ali, pihak menuntut memohon perubahan perintah nafkah untuk tiga orang anaknya. Pada tahun 1978, Mahkamah Kadi Kuala Terengganu membuat keputusan supaya yang kena tuntut membayar nafkah tiga orang anaknya itu sebanyak RM140 sebulan. Ketiga-tiga anak itu telah besar dan bersekolah dan pihak menuntut memohon nafkah RM350 sebulan. Mahkmah Kadi memutuskan pihak kena tuntut membayar nafkah anak-anaknya seramai tiga orang sebanyak RM250 sebulan hingga anak itu cukup umur dengan dipotong gaji melalui majikannya.[10]

4.5 Tiada Pendapatan Tetap

Orang yang bertanggungjawab membayar nafkah tersebut tidak mempunyai  pendapatan tetap untuk dipotong terus bayaran nafkah anak dari gajinya. Kadangkala, walaupun telah mendapat perintah mahkamah untuk memotong bayaran nafkah dari gaji, majikan tidak mahu memberi bekerjasama. [11]

4.6 Cagaran Harta

Mahkamah boleh apabila menentukan nafkah, memerintahkan orang yang bertanggungan membayar nafkah itu supaya memberi cagaran bagi kesemua atau apa-apa bahagiannya dengan meletak apa-apa harta kepada pemegang-pemegang amanah dengan amanah supaya membayar nafkah itu. Masalah timbul apabila orang yang bertanggungjawab membayar nafkah anak tersebut tidak mempunyai harta untuk dicagarkan atau disita seperti dalam kes hiwalah (bekukan duit dalam akaun bank).[12]

4.7  Sakit Yang Terlantar atau Oarang Kurang Upaya (OKU)

Jika lelaki tersebut adalah dari golongan OKU yang tidak mampu memberi nafkah atau mengalami sakit yang terlantar, tuntutan nafkah anak boleh difailkan kepada ahli waris kepada si lelaki supaya menanggung nafkah anak tersebut tetapi biasanya waris-waris juga tidak berkemampuan atau tidak mahu bertanggungjawab terhadap tuntutan nafkah anak itu.[13]

5.0       TANGGUNGJAWAB MEMBERI NAFKAH MENURUT SIVIL

Menurut seksyen 92 Akta Membaharui Undang-undang 1976 menyatakan bahawa menjadi seorang ibu bapa untuk menanggung atau memberi sumbangan terhadap nafkah anak-anaknya, samada anak-anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang yang lain, samada dengan menyediakan kepada mereka tempat tinggal, pakaian, makanan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandangkan kemampuan dan kedudukannya dalam dalam kehidupan atau dengan membayar kos untuk perkara-perkara tersebut.[14]

6.0 KEKANGAN-KEKANGAN YANG WUJUD BERKAITAN DENGAN NAFKAH  ANAK DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA BUKAN ISLAM.

Berkaitan dengan nafkah anak bagi undang-undang keluarga bukan Islam telah diperuntukkan dalam Akta Perempuan Bersuami dan Anak-Anak (Nafkah) 1950, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan juga Akta Umur Dewasa 1971. Lazimnya kekangan-kekangan bagi mendapatkan nafkah anak adalah disebabkan beberapa perkara berikut:

6.1 Perubahan perintah

Seksyen 3(1) Akta Perempuan Bersuami dan Anak-Anak (Nafkah) 1950 telah mengadakan peruntukan bagi nafkah anak-anak sah taraf yang tidak berkeupayaan menanggung diri mereka sendiri adalah menjadi tanggungjawab bapa memberi elaun bulanan mengikut kadar kemampuannya.[15]

Walaupun peruntukan tersebut jelas mengatakan demikian, namun sekiranya bapa memohon kepada mahkamah agar mengubah perintah yang telah dikeluarkan dengan menggunakan alasan-alasan tertentu seperti berkurangnya sumber pendapatan setelah perintah itu dikeluarkan, uzur, banyak tanggungan dan sebagainya. Biasanya Mahkamah akan mendengar permohonan tersebut seterusnya mengubah perintah setelah memastikan dokumen-dokumen yang dikemukakan menyokong permohonan yang di buat. Ini diperuntukkan dalam seksyen 96 Akta Membaharui Undang-Undang 1976 iaitu mahkamah boleh mengubah atau membatalkan perintah nafkah jika berlaku apa-apa perubahan material dalam hal keadaan.[16] Perkara ini memberi kesan kepada anak-anak di mana elaun mereka mungkin akan berkurang atau tersekat atau terhenti setakat itu sahaja.

Dalam kes Gisale Gertrud Abe lwn Tan Wee Kiat 1986, pihak suami/bapa telah memohon perubahan terhadap perintah nafkah kerana berlaku perubahan material dalam hal keadaan kewangan. Pihak suami/bapa kena membayar suatu pinjaman bank yang substansial dan suatu hutang penghakiman. Untuk menyelesaikan pinjaman itu serta untuk mengelakkan prosiding kebankrapan dia telah meminjam wang daripada ibunya. Pihak suami/bapa juga telah kehilangan pekerjaan yang dipegangnya pada masa itu kerana pengurangan pekerja, dan beberapa bulan kemudian dia telah mendapat pekerjaan lain dengan gaji yang lebih rendah daripada pekerjaan yang dahulu. Pihak isteri/ibu pula kini mempunyai perniagaan sendiri. Dikemukan hujah bahawa adalah lebih baik jika undang-undang memberi lebih perhatian dan penekanan faktor-faktor sedemikian dalam penentuan jumlah nafkah atau perubahan jumlah nafkah. Manakala hujah yang dikemukan oleh pihak isteri mengenai ”tanggungjawab moral” pula telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan hakim menyatakan bahawa pertimbangan alasan-alasan moral tidak relevan.[17]

6.2 Salah nyataan atau kekhilafan fakta.

Seksyen 96 Akta Membaharui Undang-undang 1976 juga ada memperuntukkan bahawa mahkamah boleh mengubah atau membatalkan perintah nafkah jika perintah itu telah diasaskan kepada apa-apa salah nyataan atau kekhilafan fakta.[18]

6.3 Had masa menuntut tunggakan nafkah.

Seksyen 86 Akta Membaharui Undang-undang memperuntukkan tentang masa yang dibolehkan untuk mendapat tunggakan nafkah. Menurut seksyen ini, tunggakan nafkah hanya boleh diperolehi bagi suatu tempoh yang tidak lebih dari tiga tahun sebelum permohonan nafkah dibuat.[19] Ini bermakna, sekiranya pihak yang mendapat hak penjagaan anak-anak itu gagal menuntut nafkah dalam tempoh 3 tahun sebagaimana yang dinyatakan, maka tunggakan nafkah yang tidak diperolehi itu tidak boleh dituntut lagi.

6.4 Had umur anak-anak yang boleh menerima nafkah.

Seksyen 95 Akta Membaharui Undang-undang 1976 memperuntukkan bahawa seorang anak yang sempurna keadaan fizikal dan mental hanya layak dah sah menerima nafkah sehingga berumur 18 tahun sahaja. Setelah mencapai umur 18 tahun, anak tersebut di anggap tidak lagi layak untuk menerima nafkah daripada ibu atau bapa atau dari seorang perempuan atau lelaki sekalipun pada masa itu masih lagi menuntut, melainkan jika anak itu berada dalam keadaan hilang upaya jasmani atau akal. Walaubagaimanapun, hak mendapat nafkah bagi seorang anak yang tidak sempurna juga akan tamat sebaik sahaja anak tersebut sembuh dari keadaan hilang upaya jasmani atau akal yang dialaminya serta merta.[20]

Seksyen 7(2) Kaedah-Kaedah Perceraian dan Prosiding Hal Ehwal Suami Isteri 1980 telah mencadangkan bahawa sekiranya terdapat anak yang berumur kurang dari 16 tahun atau lebih dari 16 tahun dan sedang belajar di mana-mana institusi pengajian atau sedang menjalani suatu profesion, maka anak itu layak mendapat nafkah jangka panjang. Namun seksyen ini hanyalah satu cadangan dan merupakan kaedah prosedur sahaja yang mana ianya tidak dipraktikkan di mahkamah.[21]

6.5 Had nafkah

Di Sabah, terdapat peruntukan khusus mengenai had jumlah nafkah yang boleh diterima oleh anak tak sah taraf. Seksyen 3 Ordinan Nafkah 1959 memperuntukkan bahawa anak yang tak sah taraf hanya boleh menerima nafkah yang berjumlah tidak lebih RM50 sebulan. Walaupun demikian, mahkamah boleh atas alasan-alasan khas memerintahkan suatu jumlah yang besar dibayar kepada anak tak sah taraf untuk tempoh kebelakangan tetapi ia tidaklah melebihi 12 kali seperti jumlah yang diperintahkan di atas. Tempoh kebelakangna yang dimaksudkan ialah tidak melebihi 12 bulan atau satu tahun.[22]

Berdasarkan peruntukan yang ada, dapatlah difahami bahawa anak tak sah taraf lebih rendah tarafnya dari anak sah taraf dan juga anak angkat. Ini kerana anak sah taraf dan anak angkat tidak dihadkan jumlah yang boleh diterima oleh mereka. Keadaan ini hanya wujud di Sabah sahaja.

* Anda boleh rujuk buku2 yang dikarang oleh:

Abdul Munir Yaacob, Siti Shamsiah Md.Sapi. 2006. Undang-undang keluarga Islam.

Kuala Lumpur. Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Mimi Kamariah binti Majid. 1992. Undang-undang keluarga di Malaysia. Universiti

Malaya Kuala Lumpur: Butterwoths Asia.

Nik Noriani binti Nik Badli Shah. 1994. Undang-undang keluarga, nafkah dan hak-hak

kewangan lain. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Prof. Tan Sri Datuk Ahmad Ibrahim. 1999. Undang-undang keluarga Islam di Malaysia.

Malayan Law Journal Sdn.Bhd.

Cebisan dari Thesis :

Wan Rosmawati Bt Wan Ali

Dip Pentadbiran Kehakiman dan Guaman, UKM

Ijazah Sarjana Muda Pengkhususan Syariah (kepujian), UKM


[1] Abdul Munir Yaacob, Siti Shamsiah Md.Sapi. 2006. hlm 35

[2]Mimi Kamariah Majid, 1992, hlm. 41-42

[3] Abdul Munir Yaacob, Siti Shamsiah Md.Sapi. 2006. hlm 26

[4] Ibid hlm 51

[5] Ibid hlm 27

[6] Ibid hlm 28

[7] Ibid hlm 29

[8] Prof. Tan Sri Datuk Ahmad Ibrahim. 1999. hlm 278

[9] Abdul Munir Yaacob, Siti Shamsiah Md.Sapi. 2006. hlm 29

[10] Prof. Tan Sri Datuk Ahmad Ibrahim. 1999. hlm 280

[11] Maklumat dari Biro Bantuan Guaman,Negeri Sembilan

[12] Ibid

[13] Ibid

[14] Ibid, hlm. 42.

[15] Nik Noriani Nik Badli Shah, 1994, hlm. 7.

[16] Ibid, hlm. 12

[17] Ibid, hlm. 11.

[18] Ibid, hlm. 12.

[19] Ibid.

[20] Ibid, hlm. 11.

[21] Ibid.

[22] Mimi Kamariah Majid., 1992, hlm. 179.